Nuffnang Ads

Gua Blog

Tuesday, June 19, 2012


Penting atau Tidak Sarapan Pagi?????



SARAPAN dianggap begitu penting untuk memastikan badan sentiasa cergas dan minda cerdas sepanjang hari. Malah sarapan juga sebenarnya penting untuk diamalkan bagi mereka yang ingin mendapatkan tubuh badan menawan.
Ringkasnya, sarapan amat penting untuk semua peringkat umur tidak kira bagi kanak-kanak mahupun dewasa bagi memastikan kesihatan tubuh badan terjamin.
Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pakar KPJ Seremban, Iman Abdul Halim, sarapan pagi adalah satu cara untuk memberikan bentuk badan yang ideal seperti diidamkan.
Seseorang yang tidak mengambil sarapan kononnya untuk menurunkan berat badan lebih cenderung mengalami peningkatan berat badan.
Tidak mengambil sarapan berkait rapat dengan masalah obesiti. Kajian menunjukkan individu yang mengalami masalah obesiti kebanyakannya adalah mereka yang tidak mengambil sarapan.
Kajian juga mendapati meninggalkan makanan terutama sarapan menjadikan kawalan berat badan semakin sukar. Seseorang yang tidak bersarapan cenderung untuk mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak pada waktu tengah hari dan tidak berkhasiat serta tinggi kalori seperti makanan ringan untuk menghilangkan kelaparan.
Beberapa kajian menunjukkan tabiat sebegini akan mengumpulkan lebih banyak lemak badan apabila mereka makan lebih sedikit dan mengandungi kalori tinggi yang diambil secara kerap.
“Apabila seorang itu mengalami masalah obesiti ataupun berlebihan berat badan, mereka cenderung untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit jantung.
“Bagi mereka yang mengalami masalah sakit perut, angina (penyakit yang menyebabkan kesakitan dan kesesakan nafas) atau perut tidak selesa, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meninggalkan sarapan.
“Pilihan makanan yang berkhasiat dan bersih amat penting. Pengambilan sarapan perlu dibiasakan bagi individu yang menganggap ia tidak penting,” nasihatnya kepada golongan dewasa yang gemar meninggalkan sarapan setiap hari.
Tambahnya, tubuh badan manusia seperti kereta yang perlu diisi dengan minyak supaya boleh bergerak. Badan kita perlu diisi dengan makanan beberapa kali dalam sehari supaya ia boleh berfungsi secara cekap dan dapat melakukan tugas harian lebih baik.
Kajian untuk membandingkan antara keberkesanan mental dan fizikal terhadap sekumpulan orang dewasa dalam sehari menunjukkan mereka yang tidak mengambil sarapan semakin kurang cergas menjelang tengah hari.
“Setiap pagi, selepas beberapa jam kita tidak mendapat bekalan makanan, sangat penting untuk bersarapan supaya ia dapat membekalkan nutrien dan tenaga yang diperlukan tubuh badan untuk melakukan aktiviti seharian.
“Jika seseorang itu tidak mengambil sarapan, mereka akan berasa letih, lesu, pening, tidak bermaya, mudah marah dan bermasalah untuk menumpukan perhatian.
“Masa yang lama diperlukan untuk menyelesaikan tugasan terutama jika di tempat kerja. Jika tidak bersarapan, kita cenderung untuk mengambil makanan manis untuk meningkatkan tenaga.
“Jika seseorang sedang bekerja dan waktu makan tengah hari belum tiba, pada ketika inilah kita cenderung untuk mengambil makanan yang kurang berkhasiat seperti coklat, kerepek atau makanan ringan lain.
“Di samping itu, mereka akan berasa sangat lapar dan apabila tiba waktu makan tengah hari, mereka akan mengambil kuantiti makanan yang banyak,” jelasnya mengenai kesan bagi mereka yang malas dan tidak mahu mengambil sarapan sebagai rutin harian.
Sarapan tidak hanya penting bagi mereka yang inginkan berat badan ideal tetapi juga kepada kanak-kanak yang bersekolah.
“Pada waktu pagi, setelah lapan hingga 12 jam semalaman tidak mendapat makanan sewaktu tidur, simpanan tenaga adalah rendah.
“Tumbesaran dan perkembangan otak bergantung kepada pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Apabila mereka tidak mengambil sarapan, untuk menunggu waktu makan seterusnya boleh mengambil tempoh sehingga 18 jam.
“Tempoh ‘separa kelaparan’ ini boleh menimbulkan masalah fizikal, intelektual dan tingkah laku mereka. Justeru, sarapan ialah hidangan yang paling penting diambil tetapi masih ramai lagi kanak-kanak tidak menikmatinya.
“Pengambilan sarapan di kalangan murid-murid membantu daya penumpuan mereka, mempengaruhi tingkah laku semasa proses pembelajaran dan mengurangkan keletihan.
“Pengambilan sarapan penting tetapi apa yang mereka ambil atau makan perlu juga dititikberatkan. Memilih sarapan yang kaya dengan bijirin penuh, serat, protein, rendah lemak dan gula boleh meningkatkan tahap penumpuan yang memang diperlukan untuk proses pembelajaran.
“Karbohidrat adalah sumber tenaga utama untuk tubuh badan. Serat membantu dengan memberi rasa kenyang bagi mengelakkan pengambilan makanan berlebihan.
“Apabila digabungkan dengan pengambilan air yang mencukupi, serat membantu
menggerakkan makanan melalui sistem pencernaan, mengurangkan risiko sembelit dan juga menurunkan tahap kolesterol darah,” jelasnya.
Meninggalkan sarapan juga boleh menjadikan kanak-kanak berasa letih dan tidak bermaya. Hal ini secara tidak langsung mempengaruhi proses pembelajaran mereka.
Mood dan tenaga mereka semakin menurun sepanjang waktu pembelajaran jika tidak menjamah sebarang makanan. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengambil sarapan mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak bersarapan.
FAKTA:
Antara sumber nutrien termasuk:
Karbohidrat seperti bijiran penuh, beras perang, roti bijirin penuh, sayuran dan buah-buahan.
Protein seperti produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak, ayam, ikan, daging, telur dan kekacang.
Serat seperti roti bijiran penuh, bijirin sarapan, kekacang, sayuran dan buah.
Kepentingan bersarapan:
Kecerdasan minda terutama memori yang baik.
Keputusan ujian atau peperiksaan yang baik, kedatangan ke sekolah dan mood mereka.
Tumpuan dan perhatian yang lebih di dalam kelas.
Pemakanan yang baik secara keseluruhan.
Berat badan yang ideal.
Sumber: hmetro.com.my

Bahaya Bekerja Waktu Malam... Anda Tahu Risikonya???



KINI semakin ramai orang bekerja hingga lewat malam. Remaja pula leka bersembang melalui pesanan ringkas atau melayari laman sosial sehingga dini hari sebelum bergegas ke sekolah. Pengembara pula memilih penerbangan malam untuk menjimatkan perbelanjaan.
Kesan kekurangan tidur ini tidak berhenti pada tersengguk-sengguk ketika memandu saja (yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya). Kajian membuktikan individu yang tidur terlalu sekejap atau tidur pada waktu tidak sesuai berhadapan dengan kesan jangka panjang menggantikan tidur tidak dapat menyembuhkannya iaitu peningkatan risiko mendapat kencing manis, penyakit jantung dan lain-lain masalah kesihatan.
Menurut Russel Sanna dari Jabatan Perubatan Tidur, Pusat Pengajian Perubatan Harvard, masyarakat dunia kini berhadapan dengan masalah kekurangan tidur dan ia satu isu dan cabaran besar kepada penjaga kesihatan.
Serius manakah perkara ini sehingga ia menjadi kebimbangan pakar perubatan?
Bagaimanakah ia boleh meningkatkan risiko kepada penyakit diabetes yang kini sudahpun menjadi satu wabak di seluruh dunia?
Sejak dulu kajian menunjukkan orang yang tidur kurang daripada lima jam satu malam mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat diabetes. Diabetes yang dimaksudkan di sini ialah diabetes jenis II yang biasanya menyerang orang dewasa.
Malah peningkatan risiko mendapat diabetes ini juga dihadapi individu yang bekerja syif. Berdasarkan laporan pakar sains saraf yang menganalisis rekod Kajian Kesihatan Jururawat, kerja syif melebihi tiga malam dalam tempoh sebulan berselang-seli dengan syif siang atau petang juga akan meningkatkan risiko ini.
Corak pemakanan dan aktiviti fizikal juga menjadi faktor utama untuk penyakit diabetes. Apabila kita penat, memang sukar untuk memaksa diri bersenam atau makan buah berbanding donut terutama jika sampai ke rumah pada jam 3 pagi ketika kita sepatutnya tidur.
Dalam kajian terbaru, menunjukkan bahawa tidur memainkan peranan yang lebih kompleks dalam kehidupan seseorang. Apabila kita kekurangan tidur, ritma biologi badan yang normal akan terjejas menyebabkan berlakunya perubahan fizikal pada badan yang tanpa disedari membantu membuat ‘tangga’ untuk diabetes bersarang dalam badan, kata Dr Orfeu Buxton dari Hospital Wanita dan Brigham
di Boston.
Dia melakukan kajian ke atas 21 sukarelawan sihat yang tinggal hampir enam minggu di makmal dengan pemakanan, aktiviti fizikal, tidur dan cahaya lampu dikawal sepenuhnya.
Pada permulaan, semua 21 peserta mendapat rehat secukupnya. Tetapi selama tiga minggu, mereka hanya dibenarkan tidur selama lima setengah jam sehari pada waktu berbeza sama ada malam atau siang. Ini bertujuan meniru waktu kerja syif yang tidak menentu atau masalah jet lag yang berpanjangan.
Kaedah ini didapati menjejaskan ritma sirkadian badan iaitu jam biologi utama yang mengawal fungsi badan apabila kita mengantuk atau turun naik suhu badan.
Apa yang berlaku memang memeranjatkan. Dalam artikelnya yang disiarkan di Jurnal Perubatan Sains Translasi, Buxton melaporkan, di dapati paras gula peserta meningkat selepas makan, kadang kala mencecah paras pradiabetes. Ini kerana pankreas berhenti mengeluarkan cukup insulin.
Pada masa sama, kadar metabolisme peserta menurun sebanyak lapan peratus. Penyelidik kemudian merancang pemakanan peserta supaya berat badan mereka tidak bertambah tetapi menurut Buxton, dalam keadaan biasa, keadaan ini (kemerosotan kadar metabolisme sebanyak itu) akan menyebabkan pertambahan berat badan sebanyak 4.5 hingga 5.5 kilogram setahun.
Keputusan kajian ini ada logiknya, kata Pengarah Pusat Tidur, Pusat Perubatan Montefiore yang juga pakar neurologi di Kolej Perubatan Albert Einstein di New York, Dr Michael Thorpy.
“Kita perlu ada alasan yang baik jika mahu menghabiskan satu pertiga masa dalam sehari untuk tidur,” katanya sambil menegaskan bahawa diabetes bukan satu-satunya masalah yang perlu dibimbangkan.
Kira-kira 70 juta rakyat Amerika mengalami masalah tidur yang kronik daripada insomnia hinggalah ke apnea tidur. Tidur yang terjejas sejak dulu lagi dikaitkan dengan masalah tekanan darah tinggi, penyakit jantung, obesiti, kemurungan, masalah daya ingatan dan melemahkan sistem imun.
Ada satu lagi perkara yang menjadi kebimbangan: Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengklasifikasikan kerja syif malam sebagai karsinogen kerana terlalu banyak cahaya pada waktu malam boleh menghalang aktiviti hormon untuk membolehkan seseorang tidur dan menindas sel barah.
Tidakkah tubuh seseorang itu boleh mengadaptasi jika dia bekerja syif malam untuk jangka masa yang lama? Dalam hal ini, keadaan individu yang kerap bertukar syif lebih membimbangkan, kata Buxton.
Dalam kajiannya, badan sukarelawan beralih balik kepada keadaan normal selepas sembilan malam mendapat tidur mencukupi (dan tidur pada waktu malam). Hingga kini tiada siapa tahu berapa lama yang diperlukan sebelum masalah kekurangan tidur dan kecelaruan jam biologi akan menyebabkan kerosakan kekal pada badan.
Menurut Thorpy, orang yang memang berjaga malam lebih mudah mengadaptasi apabila dikehendaki bekerja syif malam tetapi mereka akan menghadapi masalah jika disuruh bekerja siang pada hari cuti. Bahkan, didapati hampir 30 peratus pekerja syif malam mengalami masalah tidur selepas pulang ke rumah atau ketika mereka penat. Keadaan ini dipanggil ‘gangguan atau penyakit kerja syif.’
Sehubungan itu, ada beberapa saranan untuk menikmati hidup yang lebih sihat dan sejahtera iaitu:
  • Orang dewasa memerlukan tidur nyenyak selama tujuh hingga sembilan jam sehari.
  • Individu yang bekerja malam disarankan terus tidur sebaik sampai ke rumah.
    Padamkan semua lampu supaya anda tidur dalam keadaan gelap seperti waktu malam.
    Thorpy mencadangkan supaya anda memakai cermin mata kekuningan atau jingga ketika memandu balik bagi mengelakkan cahaya biru daripada memasuki mata dan boleh menyebabkan anda terus berjaga sampai pagi.
  • Biarkan cahaya matahari membantu menyelaraskan jam tidur biologi anda.
    Bagi kebanyakan orang, cahaya matahari pada waktu pagi sangat penting. Bagi yang bekerja syif malam, cahaya terang pada waktu petang akan mengubah jam biologi mereka secara semula jadi.
  • Pastikan bilik tidur anda gelap, sejuk, selesa dan sunyi. Elakkan minum minuman mengandungi kafein, alkohol dan keadaan tegang sebelum tidur. Alat elektronik pula jangan diletakkan terlalu dekat dengan katil. Sebaiknya tidur dan bangun pagi pada waktu yang sama setiap hari supaya anda berasa lebih cergas. – AP
Sumber: hmetro.com.my

TUMPANG LALU...